Wednesday, February 3

Masa itu Aku!


Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum w.b.t..

Awan malam yang beranjak menutupi bulan mempercepat tirai malam berlabuh. Aku merebahkan badanku di katil. Empuk katil ditambah putaran ligat kipas sememangnya keadaan yang cukup baik untuk sesiapa sahaja melelapkan mata. Tetapi mataku ini terbuka buntang melihat tepat ke arah syiling. Anak mataku tidak bergerak-gerak. Isyarat tidur dari otakku tidak mampu menolak diriku dari terus memikirkan akan peristiwa malam semalam. Lantaran itu aku bangkit mencapai laptop usangku menulis post kali ini..

Sahabat..

Dengan berbekalkan cuti semester yang hampir ke penghujungnya, aku cuba memanfaatkan kebanyakan masaku untuk memahami lebih dekat tentang bi`ah(suasana) yang sebenarnya di sekitar aku tika ini. Moga- moga aku mendapat pengalaman yang berharga yang tidak mungkin aku rasainya buat kali yang seterusnya...

Perlawanan yang Sengit..

Perlawanan piala FA di antara pasukan gegasi liga Pahang menentang pasukan kerdil Felda UTD boleh dikatakan berbaloi untuk diriku dan rakan-rakanku tontoninya semalam. Padang rumput menghijau dengan barisan pemain yang sudah menjejakkan kaki di atas padang tersebut jelas kelihatan dari tempat dudukku. Kehadiran penonton yang bermacam ragam memeriahkan lagi suasana di dalam stadium. Palungan kompang, tiupan HON(sejenis alat yang bunyinya macam hon), teriakan penonton, tiupan wisel semacam menjadi kewajipan apabila berada di dalam stadium.
Perlawanan kali ini dilihat sebagai langkah kanan dan lebih memihak kepada pasukan Pahang untuk menang. Ulasan jurulatih pasukan Felda utd sebelum perlawanan menegaskan mereka yang bakal melayakkan diri ke peringkat suku akhir walaupun mereka pasukan kerdil di dalam liga.
Wisel sepakan mula.Pasukan Felda utd lebih teratur dalam pergerakan formasi mereka. Mereka berjaya mengasak pasukan lawan(Pahang) sehingga berjaya mendahului 1-0 di babak pertama perlawanan. Lebih mengagumkan, gol itu adalah hasil daripada serangan pertama mereka. Ternyata semangat pasukan Felda utd menggoyahkan pemain Pahang. Mereka tidak mensia-siakan setiap minit yang berlalu.
Tetapi Pahang berjaya mengikat perlawanan meskipun dalam keadaan formasi yang kucar-kacir hasil sepakan penalti di akhir babak perlawanan. Sejurus selepas itu, pengadil meniup wisel akhir perlawanan. Felda utd menerima tepukan gemuruh dari penonton-penonton yang hadir. Felda utd sudah 'menang' di hati penyokon yang hadir malam itu. Sememangnya perlawanan yang sengit.

Kehidupan kita..

Suka aku nyatakan bahawa kita sebenarnya tersangat perlu kepada perancangan yang teliti di dalam mengecapi matlamat kehidupan kita hari-hari. Terutama kita sebagai seorang penuntut ilmu. Perancangan yang tidak menjurus kepada matlamat yang jelas akan mendorong seseorang itu melaksanakan perancangan tersebut umpama melepaskan batuk di tangga sahaja.
Kita lihat bagaimana tadi Felda utd telah mengatur langkah sejak sepak mula lagi. Meskipun mereka pasukan kerdil, mereka mampu menggoyahkan pertahanan pasukan gergasi, Pahang. Pasukan kerdil ini, Felda utd, tidak sama sekali terganggu dengan spekulasi-spekulasi tentang kemenangan pasukan Pahang ke atas mereka. Matlamat mereka hanya satu, melayakkan diri ke peringkat suku akhir.
Jadi, kita perlulah dari awal semester lagi menyimpan hasrat untuk memperoleh keputusan yang terbaik dalam peperiksaan agar kita bisa mengatur strategi(perancangan) yang terbaik untuk diri kita.Jadilah kita semua seperti pasukan Felda utd. Meletakkan matlamat sebagai pendorong kepada membentuk formasi dan usaha yang mantap. Gunakanlah masa yang ada dengan sebaik-baiknya...

Memang tidak sia-sia aku pergi ke Stadium Darul Makmur semalam. Meluaskan pandanganku,pengalamanku dan memanfaatkan masaku. Aku yakin jika aku bijak merancang, pandai mengurus masa, aku akan berjaya seperti Felda utd!. Aku cuma perlu jadikan "Masa itu Aku"!

*Post kali ini banyak tokok tambah, menyedapkan cerita..he3..tapi result perlawanan memang betul.


Renungan:

Al-Quran..

سُوۡرَةُ العَصر

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
وَٱلۡعَصۡرِ (١) إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لَفِى خُسۡرٍ (٢) إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ (٣)

Al-Asr
In the name of Allah, the Beneficent, the Merciful
By the declining day, (1) Lo! man is a state of loss, (2) Save those who believe and do good works, and exhort one another to truth and exhort one another to endurance. (3)

Hadis...

Imam Bukhari telah meriwayatkan daripada Abdullah bin Abbas, sabda Rasulullah s.a.w:

"Terdapat dua nikmat di mana kebanyakan manusia menderita kerugian di dalamnya iaitu nikmat kesihatan dan masa lapang.”

Terdapat dalam hadis lain sabda Rasulullah s.a.w:

“Rebutlah keuntungan (dalam) lima perkara sebelum (datang) lima perkara: masa hidup sebelum mati; sihat sebelum sakit; lapang sebelum sibuk; muda sebelum tua dan masa kaya sebelum miskin.”

Ulama`...

Abu ‘Athaillah dalam syairnya mengatakan:
Sesungguhnya usia muda, kekosongan masa dan kemewahan,
adalah punca kebinasaan seseorang dalam bentuk kebinasaan apa saja.


wassalam..